Stadium Cheras dipilih untuk menjadi gelanggang bagi aksi di antara Palestine menentang Jordan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan, Malaysia dipilih sebagai venue perlawanan selepas pihak Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin baru-baru ini.
PFA sebelum ini mencari venue yang sesuai bagi dijadikan gelangang neutral menjelang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu.
Selepas perbincangan, kata sepakat telah dicapai antara FAM dan PFA yang mana Datuk Hamidin yng juga Ahli Majlis FIFA bersetuju untuk menawarkan venue neutral di Malaysia dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dipilih.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini pernah menjadi venue neutral bagi aksi pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Oktober 2017.
Terdahulu, Palestin melakar sejarah setelah menempah slot ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama selepas terikat tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha, Qatar pada 7 Jun lalu.
Pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Palestin diundi berada dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, Iraq, Oman, Kuwait selain Jordan.
Palestine dan Jordan akan berentap dalam aksi kedua peringkat kumpulan B pada 10 September nanti.