Bek tengah Al-Ahli, Merih Demiral mengakui merasa marah dengan kualiti pengadilan aksi pasukan itu menentang Al-Nassr dalam saingan Saudi Pro League (SPL) baru-baru ini.
Bek tengah Turkiye itu mendakwa setiap keputusan yang dibuat pengadil seolah-olah memihak kepada pasukan gergasi Arab Saudi itu.
“Demi Allah, semua orang nak tolong Al-Nassr memenangi liga,” katanya dalam satu video yang dikongsikan pengguna X bernama Amru.
“Demi Allah, inlah apa yang berlaku, semua orang mahu membantu Al-Nassr memenangi sebarang trofi. Ini sesuatu yang memalukan! Semua orang mahu bantu Al-Nassr menang!”
Demiral turut menegaskan beliau bersyukur kerana dapat membantu Al-Ahli meraih trofi di atas padang dengan adil.
Kenyataan ini dilihat merujuk kepada trofi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang dimenangi Al-Ahli untuk edisi 2024/25 dan 2025/26.
“Alhamdulillah, Al-Ahli sentiasa menang di atas padang tanpa bantuan sesiapa. Al-Ahli akan sentiasa berada di atas, Insya Allah,” tambahnya.
Aksi Al-Nassr menentang Al-Ahli menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan 2-0. Cristiano Ronaldo dan Kingsley Coman mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Ini bukan kali pertama Al-Ahli merasa tidak berpuas hati dengan kualiti pengadilan SPL. Sebelum ini, pengurusan kelab itu turut membidas kualiti pengadilan ketika menentang Al-Fayha.
Al-Nassr semakin menghampiri trofi kejuaraan liga dengan saingan SPL berbaki empat perlawanan. Kelab itu dan Ronaldo juga berpeluang bergelar juara Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).