Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Arsenal dan Tottenham Hotspur baru-baru ini diserikan dengan kehadiran bintang K-Pop terkenal dari Thailand, Lisa Blackpink.
Lisa atau nama sebenarnya, Lalisa Manoban hadir memeriahkan upacara balingan duit syiling membabitkan kapten kedua-dua pasukan sebelum perlawanan di Stadium Emirates baru-baru ini.
Lisa, 27, kelihatan menawan dengan pakaian kasual berwarna kuning hitam. Sebelum perlawanan, beliau berinteraksi dengan pengadil, Simon Hopper sebelum menyerahkan duit syiling kepadanya.
Balingan duit syiling yang dibuat Hopper bertujuan menentukan pasukan mana bakal mendapat bola terlebih dahulu. Balingan dibuat bersama kapten The Gunners, Martin Odegaard dan kapten Spurs, Son Heung-min.
Odegaard dan Heung-min kelihatan fokus mendengar arahan Hopper tanpa mengambil perhatian kelibat ahli kumpulan Blackpink itu. Selepas tamat upacara balingan duit syiling, pengadil mengucapkan terima kasih kepada Lisa.
Sebaik video kemunculan penyanyi terkenal itu di Stadium Emirates dimuat naik ke media sosial, kelibatnya menjadi bualan peminat termasuk penyokong Arsenal.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 2-1 buat Arsenal. Heung-min terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat Tottenham.
Walau bagaimanapun, gol Gabriel Magalhaes dan Leandro Trossard memastikan The Gunners meraih tiga mata penuh.