Arsenal bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Tottenham Hotspur di Stadium Emirates.
The Gunners mahu bangkit selepas tewas kepada Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti pusingan ketiga The Emirates FA Cup.
Spurs pula mahu melebarkan rentak kemenangan selepas mengecapi dua kemenangan dalam dua aksi sebelumnya.
Gandingan Kai Havertz, Raheem Sterling dan Leandro Trossard menjadi pilihan Mikel Arteta. Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou pula memilih gandingan Son Heung-min, Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Emirates.
Arsenal menguji keupayaan penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky seawal minit ketiga. Malangnya, percubaan Sterling berjaya dinafikan penjaga gol baru pasukan itu.
Tatkala The Gunners memberi tekanan kepada barisan pertahanan pelawat, Tottenham terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-25 menerusi Heung-min.
Penyerang Korea Selatan itu melepaskan rembatan voli yang terkena pemain tengah Arsenal, Thomas Partey sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah, David Raya.
Tersentak, Arsenal kembali memperkemaskan rentak mereka. Hasilnya, mereka meraih gol penyamaan apabila tandukan Gabriel terkena Solanke sebelum menerjah jaring pada minit ke-40.
Empat minit selepas itu, Trossard menceriakan penyokong The Gunners dengan melepaskan rembatan yang menewaskan Kinsky. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Postecoglou memasukkan James Maddison dan Brennan Johnson untuk mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, apa yang diharap pengurus Tottenham itu tidak berlaku. Sebaliknya, Havertz hampir menambah gol Arsenal pada minit ke-58 tetapi dinafikan Kinsky.
Solanke hampir menebus kesilapannya pada minit ke-93 tetapi percubaan menarik beliau tersasar. Itu sudah cukup memastikan kemenangan 2-1 Arsenal sehingga wisel penamat.
Keputusan ini menyaksikan The Gunners merapatkan jurang dengan Liverpool kepada empat mata selepas mengumpul 43 mata. Spurs pula di tangga ke-13 liga dengan 24 mata.
Sofascore memilih kapten Arsenal, Martin Odegaard sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau menerima markah 8.0, 0.6 mata di hadapan Trossard.
Selepas ini, The Gunners bakal menentang Aston Villa di Stadium Emirates pada 19 Januari. Spurs pula bertandang ke Goodison Park untuk menentang Everton pada hari yang sama.