Harimau Malaya bakal menerima sentuhan pemain baharu yang berpangkalan di luar negara tidak lama lagi.
Ini selepas pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memaklumkan pengumuman berkenaan pemain baharu pasukan itu akan diumumkan pada Jun ini.
“Saya fikir akan ada pengumuman yang akan dibuat sekitar awal Jun apabila semua proses dokumentasi dimuktamadkan dengan pihak kerajaan. Tapi ia cukup menyakinkan,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM baru-baru ini.
Sebelum ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan ada tujuh lagi pemain yang berpangkalan di luar negara yang bakal menyertai Harimau Malaya.
Sekiranya proses yang dinyatakan berjalan lancar, mereka bakal menyertai dua lagi pemain yang sudah merasai pengalaman kem skuad kebangsaan.
Dua pemain tersebut ialah Hector Hevel dan Gabriel Palmero. Hevel dan Palmero merasai kem Harimau Malaya buat kali pertama pada Mac lalu.
Pemain tengah Portimonense itu kemudiannya merekodkan penampilan pertama bersama Harimau Malaya dalam aksi menentang Nepal.
Hevel dan pemain pertahanan Buriram United, Dion Cools bakal melapor diri untuk fasa 3 kem pada 1 Jun ini.