Seorang pemain amatur dikenakan penjara selama 14 hari selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengacukan senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit.
Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 4 Ogos lalu di KLFA Football Center, Desa Melawati Wangsa Maju. Dia dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding rayuan, peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman yang wajar dan adil buat anak guamnya.
Ini kerana dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu ibu bapanya menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.
“Anak guam saya juga bertanggungjawab untuk menghantar ibunya ke Hospital Selayang setiap minggu untuk rawatan berkaitan penyakit batu hempedu,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Ridzuan Abd Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh. Ini sebagai pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat.
“Kes ini mendapat liputan yang meluas, maka hukuman setimpal patut dikenaka bagi memberi mesej jelas kepada masyarakat,” katanya. Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Norina Zainol Abidin memerintahkan pemain amatur itu dihukum penjara 14 hari bermula 16 Ogos.
Sebelum itu, Muhammad Nur Iman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membaling bom petrol ke arah sebuah kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Mei lalu.
Dia bersama empat tertuduh lain didakwa di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Susulan itu, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.