Seorang pemain amatur yang ditahan baru-baru ini kerana mengacukan kerambit dalam satu perlawanan bola sepak juga merupakan suspek baling bom petrol di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, warga maya dikejutkan dengan tindakan seorang pemain amatur yang menggunakan kerambit dalam pergaduhan di KLFA Football Centre pada 4 Ogos lalu.
Sebaik imej pemain berkenaan dimuat naik di media sosial, perbuatan lelaki berkenaan menjadi bualan warga maya. Susulan itu, individu tersebut ditahan polis di sebuah rumah di Klang pada 9 Ogos lalu.
Kini, siasatan polis mengesahkan pemain amatur itu juga merupakan suspek insiden membaling bom petrol ke atas sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Mei lalu.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden tersebut memaparkan empat orang penunggang motosikal membaling bom petrol di depan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada 9 Mei lalu.
Video insiden tersebut menjadi bualan di media sosial pada ketika itu. Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, lelaki berkenaan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 16 Ogos ini.
“Dia ini ada dalam senarai dikehendaki satu kes, kes baling bom petrol di depan pusat hiburan, inilah orangnya. (Suspek) ini pun akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama,” katanya seperti yang dilaporkan Buletin TV3.
Suspek dijangka didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 kerana mengacukan senjata tajam. Dia juga akan berdepan tuduhan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain.