Kelibat pemain muda Bournemouth kini berjaya menarik perhatian beberapa kelab hebat Eropah termasuk gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Prestasi cemerlang Dean Huijsen bersama kelab bukan sahaja menarik minat Madrid, malah kelab seperti Chelsea dan Liverpool turut bersedia membawa masuk pemain tersebut pada jendela perpindahan akan datang.
Dean Huijsen yang baru berusia 20 tahun telah merekodkan 30 penampilan bersama Bournemouth musim ini dalam saingan liga selain turut mencetak 3 gol dan 1 bantuan jaringan untuk kelab.
Pemain berketinggian 1.97m ini menyertai Bournemouth awal musim ini dari Juventus namun pantas menyesuaikan diri di England.
Dean Huijsen turut mendapat panggilan kebangsaan mewakili Sepanyol pada Mac lalu ketika Sepanyol menewaskan Belanda dalam saingan suku akhir Liga Negara-Negara UEFA.
Dean Huijsen merupakan produk akademi Malaga sebelum berpindah ke liga Itali untuk bermain bersama pasukan AS Roma dan Juventus sebelum berpindah ke Bournemouth tahun lalu.
Pemain pertahanan tengah ini memiliki nilai pasaran €42 juta (RM202 juta) dan kontraknya bakal tamat pada 2030 kelak namun terdapat klausa perpindahan sebanyak €58 juta yang boleh dibayar secara berperingkat.
Menurut laporan Fabrizio Romano, Chelsea dan Liverpool bersedia menebus klausa tersebut sekiranya Real Madrid gagal memuktamadkan perpindahan Dean Huijsen secepat mungkin.
Dean Huijsen turut menunjukkan minat untuk menyertai Real Madrid dan kini kelab tersebut dalam rundingan secara terus dengan pemain itu.
Real Madrid pastinya berkeinginan membawa masuk pemain baharu di bahagian pertahanan setelah beberapa pemain pertahanan kerap mengalami kecederaan.
Krisis kecederaan di bahagian pertahanan kelab menyaksikan pemain seperti Eder Militao, Antonio Rudiger, David Alaba, Ferland Mendy dan Daniel Carvajal terpaksa disisihkan.
Real Madrid merekodkan 18 bolos dalam 10 perlawanan terakhir mereka sekaligus menandakan kelab sedang bergelut di bahagian pertahanan.
Malah Real Madrid turut tersingkir dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah dan harapan memenangi La Liga semakin tipis setelah tewas 4-3 kepada Barcelona baru-baru ini.
Kemasukan Dean Huijsen bakal memberi nafas baharu kepada pertahanan Real Madrid yang kelak akan turut dibimbing oleh jurulatih baru, Xabi Alonso.