Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim meluahkan kehairanan melihat aksi pemain import Perak FC, Sunday Afolabi sepanjang aksi menentang Penang FC bagi saingan Liga Super semalam.
Dalam perlawanan bertemu Penang, Sunday telah diletakkan di dalam kesebelasan utama oleh pengendali Perak, Yusri Che Lah.
Namun aksi Sunday hanya bertahan 45 minit sahaja sebelum dikeluarkan dan digantikan dengan pemain tempatan, Azalinullah Alias.
“Perak pula pada malam ini, dengan pemain import main macam tu? Saya pun hairan. Terutamanya Sunday (Afolabi). Tak tahu apa yang dia main masa separuh masa pertama tu,” luah Irfan dalam siaran langsung di TV Okey.
Dengan aksi Perak yang serba tidak menjadi membolehkan Penang meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini dengan keputusan 2-0.
Dua Jaringan Penang dihasilkan oleh Neto Oliveira di separuh masa pertama dan Alif Ikmalrizal di masa kecederaan separuh masa kedua.
Kekalahan ini merupakan kekalahan keempat buat Perak dalam saingan Liga Super musim ini sekali gus menjadikan mereka berada di kelompok bawahan liga berkongsi mata yang sama dengan Kelantan Darul Naim FC dan Negeri Sembilan FC.