Seorang bakat masa depan India berpeluang untuk beraksi bersama kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pemain dari Asia Tenggara yang mula mendapat tempat di Eropah terutamanya tonggak Jepun dan Korea.
Nama-nama seperti Son Heung-min (Spurs), Hwang Hee-chan (Wolves), Kaoru Mitoma (Brighton) dan juga Takefusa Kubo (Real Sociedad) antara pemain Asia yang menyerlah di Eropah ketika ini.
Langkah itu dijangka bakal disusuli oleh seorang lagi pemain berbakat besar Bengaluru B-18, Cyrus Abhilash yang mula membuka mata kelab besar di Eropah.
Berdasarkan laporan oleh Estonian Seagull, pemain berusia 15 tahun itu difahamkan menarik minat kelab EPL, Brighton untuk berkelana di England.
“Dalam langkah luar biasa iaitu pemain berusia 15 tahun, Cyrus Abhilash akan ditandatangani oleh Brighton untuk bermain untuk akademi di sana.
“Penyerang muda itu telah menarik perhatian bersama Bengaluru U18 dan Brighton bersedia memberikan kontrak kepadanya. Impian untuk warga India dan juga keluarganya,” ujar kenyataan tersebut.
Tonggak kelahiran Kerala, India itu beraksi pada posisi serangan dan merupakan antara prospek masa depan The Blue Tigers.
Walau bagaimanapun, Bengaluru FC dalam satu kenyataan menafikan telah menerima tawaran rasmi daripada Brighton.
“Walaupun kami benar-benar berbangga dengan program pembangunan belia kami dan kejayaannya selama ini, tiada merit dalam khabar angin mengenai hubungan pemain Akademi BFC U15, Cyrus Abhilash dengan Brighton dan Hove Albion.
“Kelab ini akan terus menjadi satu-satunya sumber rasmi bagi sebarang maklumat mengenai mana-mana pemain kami,” ujar kenyataan kelab.
Brighton juga ketika ini tidak boleh mendaftar sebarang pemain selepas dikenakan denda dan tidak boleh mendaftarkan pemain pada akademi selama satu tahun.