Pemain sayap Ireland, Callum O’Dowda memberi bayangan tentang status kapten Burnley, Josh Brownhill.
O’Dowda cukup mengenali Brownhill kerana kedua-duanya pernah menjadi rakan sepasukan semasa beraksi untuk Bristol City.
Pemain tengah warisan Malaysia itu kemudiannya menyertai The Clarets dengan yuran perpindahan £9 juta (RM50 juta) pada Januari 2020.
Dua tahun selepas itu, O’Dowda pula menyertai Cardiff City sebagai ejen bebas pada musim panas 2022. Meskipun tidak lagi beraksi dalam pasukan sama, jalinan persahabatan yang terjalin kekal sehingga hari ini.
Atas sebab itu, komen pemain sayap berusia 29 tahun itu tentang status Brownhill menarik perhatian peminat bola sepak Malaysia.
O’Dowda meninggalkan komen di Instagram yang berbunyi, “Kelas, kawan. Malaysia.” Komen tersebut seolah-olah memberi bayangan bahawa Brownhill bakal menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebelum ini, bekas pemain remaja Manchester United itu memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi neneknya.
Brownhill terus menjadi tonggak utama Burnley apabila membantu pasukan itu menewaskan Sheffield United 2-0 pada 26 Disember lalu. Menariknya, kapten The Clarets itu turut menyumbat gol kesembilannya dalam perlawanan itu.
Seorang lagi pemain yang dilaporkan memiliki darah warisan Malaysia, Zian Flemming menyumbat satu lagi gol buat Burnley.
Keputusan ini menyaksikan The Clarets di tempat ketiga dengan 47 mata, satu mata di belakang Leeds United dan The Blades.