Barisan pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mendominasi senarai akhir skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) hari ini.
Skuad ini merupakan skuad yang akan jurulatih Sepanyol, Javier Jorda Ribera untuk saingan Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 yang berlangsung dari 21 Jun hingga 4 Julai ini.
Antara nama yang menonjol dalam senarai pasukan ini ialah Arayyan Hakeem Norizam dan Fahmi Nor Farizamal.
Fahmi merupakan penjaring terbanyak Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) B-15 2023. Dia juga sebahagian daripada skuad JDT B-15 yang menewaskan Selangor di pentas final kejohanan pada tahun lepas.
Sementara Arayyan Hakeem pula merupakan pemenang Kasut Emas Piala KPM B-14 2023. Dia juga merupakan anak kepada bekas penyerang Perak, Norizam Ali Hassan.
Satu-satunya pemain yang dipanggil jurulatih Sepanyol itu yang bukan dari JDT dan AMD ialah Muhammad Alif Hakimi Zamri. Alif Hakimi mewakili pasukan Singa Muda Perlis.
Selain 29 pemain, Ribera turut meletakkan lima pemain AMD dan tiga pemain muda JDT dalam senarai pemain bersedia.
Kesemua 29 pemain ini akan menjalani latihan pusat di AMD, Gambang dari 9 hingga 17 Jun. Selepas itu, mereka akan meneruskan latihan di Wisma FAM pada 17 hingga 19 Jun sebelum bertolak ke Surakarta, Indonesia pada 20 Jun.
Skuad muda negara membuka saingan Kumpulan C Kejuaraan B-16 Asean 2024 ini dengan perlawanan pertama menentang Timor Leste pada 23 Jun, Australia pada 26 Jun dan Thailand pada 29 Jun.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir kejohanan.