Pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC membentuk teras pasukan Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) yang akan bersaing di pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 23 orang pemain yang dipanggil jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Juan Torres Garrido untuk menyertai kem latihan Harimau Malaya B-19.
Penjaga gol JDT II, Haziq Aiman Mohd Esa mengetuai kontinjen pasukan itu dalam skuad B-19 negara. Manakala Haykal Danish Mohd Haizon pula mengetuai kontinjen Merah Kuning.
Menariknya, pasukan ini turut mengandungi dua penjaring terbanyak Piala Presiden 2024 iaitu Naim Zainudin (JDT III) dan Dainei Mat Disa (Selangor).
Terengganu FC dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masing-masing menghantar dua pemain. Manakala skuad Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) B-20 dan Perak III menghantar seorang pemain.
Skuad Malaysia B-19 turut disertai pemain tengah muda yang beraksi secara pinjaman untuk FC Osaka, Muhammad Abu Khalil.
Skuad negara bakal bertolak ke China pada 31 Ogos ini untuk menyertai CFA Team International Friendly Tournament. Kejohanan itu akan berlangsung dari 4 hingga 10 September ini.
Sepanjang tempoh kejohanan, pasukan negara akan dibimbing dua penolong jurulatih skuad B-19 iaitu Shukor Adan dan Noor Zaidi Rohmat.
Ini kerana Garrido turut memegang peranan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya. Harimau Malaya juga menempuh tugasan antarabangsa iaitu Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada bulan sama.
Malaysia akan menentang Uzbekistan B-21 pada 4 September sebelum disusuli dengan China B-21 pada 7 September. Malaysia akan menutup kempen CFA Team International Friendly Tournament dengan menentang Vietnam B-21 pada 10 September 2024.
Setelah itu, skuad Malaysia B-19 akan kembali menjalani latihan di bawah bimbingan Garrido dari 12 hingga 16 September. Setelah itu, mereka akan berangkat ke Dushanbe, Tajikistan pada 17 September.
Skuad negara akan membuka kempen kelayakan Piala Asia B-20 2025 dengan menentang Oman pada 21 September. Ini disusuli aksi menentang Korea Utara dan Tajikistan masing-masing pada 23 dan 27 September.
Malaysia akan menutup kempen dengan menentang Sri Lanka pada 29 September. 10 pasukan juara dan lima pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik akan layak secara merit ke Piala Asia B-20 2025.