Pengendali PDRM, P. Maniam beranggapan kepenatan menjadi faktor JDT tidak berjaya memberi persembahan terbaik dalam aksi Liga Super pada Rabu.
Dalam aksi yang berlangsung di Selayang tersebut, Sang Saka Biru berjaya menahan asakan skuad Harimau Selatan menerusi jaringan pendahuluan Shahrel Fikri seawal minit ke-22.
Walu bagaimanapun, kelebihan PDRM itu berjaya dipadam anak-anak buah Hector Bidoglio menerusi gol penyamaan pemain gantian, Oscar Arribas pada minit ke-33 sekaligus permainan tamat dengan keputusan 1-1.
Menurut P. Maniam, keseluruhan pasukan termasuk pihak pengurusan jelas sekali gembira dan berpuas hati dengan keputusan yang membanggakan ini di laman sendiri.
”Sebagai jurulatih, sudah tentu saya gembira. Bukan saya seorang sahaja, barisan kejurulatihan, pemain dan pihak pengurusan (turut gembira)” ujar beliau pasca perlawanan.
“(Keputusan seri 1-1 berdepan JDT) ini satu pencapaian membanggakan buat PDRM (kerana) kita memperoleh satu mata di Selayang.”
Bekas jurulatih PJ City ini melihat faktor keletihan pemain menyebabkan JDT sukar untuk menampilkan aksi terbaik ketika berdepan anak-anak buahnya di Selayang.
”Kita boleh melihat pemain JDT seperti keletihan, ini pandangan saya sebagai jurulatih dan mereka tidak boleh memberikan aksi yang maksimum kerana mereka telah bermain banyak perlawanan.”
Keputusan seri ini masih meletakkan JDT di takhta Liga Super dengan 19 mata hasil enam kemenangan sebelum ini manakala PDRM berada di tangga ke-11 dengan 5 mata
Selepas ini, PDRM akan berdepan Negeri Sembilan pada 11 Ogos manakala JDT menanti kunjungan Kedah dalam kempen Piala FA dan Liga Super pada 4 dan 9 Ogos.