Prospek masa hadapan Malaysia, Sean Fetterlein sah bakal terus kekal bersama kelab gergasi Denmark, FC Copenhagen
Fetterlein yang kini bersama akademi FCK Talent sejak 2020 terus menjadi antara prospek penting kelab selepas menunjukkan perkembangan konsisten bersama skuad Bawah 19 Tahun dengan membantu pasukan menjuarai piala baru-baru ini apabila turut mencetak satu jaringan.
Latar belakang Sean Fetterlein turut mencuri perhatian ramai apabila beliau mempunyai pertalian keluarga dari Malaysia menerusi ibunya yang berasal dari Perak, yang membolehkan pemain muda ini mewakili Harimau Malaya suatu hari nanti.
Pengarah Pembangunan FC Copenhagen, Morten Grahn menyifatkan lanjutan kontrak itu sebagai hasil perkembangan positif yang ditunjukkan pemain berkenaan dari aspek teknikal dan mentaliti.
“Sean telah melalui perkembangan yang sangat baik dalam pasukan U19 yang kuat, di mana dia merasai sendiri fasa sukar dan juga positif. Semua pemain muda akan mengalami naik turun prestasi, dan itu adalah sebahagian daripada proses untuk membentuk pemain yang lebih matang dan tahan lasak,” katanya.
Beliau menambah bahawa kemampuan pemain mengendalikan tekanan menjadi faktor utama dalam proses pembangunan.
“Kunci utama bagi kami adalah bagaimana dia menangani situasi tersebut serta mentaliti yang ditunjukkan untuk bangkit. Dalam aspek ini, Sean menunjukkan perkembangan ketara dan semakin bersedia untuk langkah seterusnya dalam persekitaran kami,” jelasnya.
Grahn turut memuji kualiti permainan Fetterlein yang bersifat dinamik dan vertikal, selain semakin meningkat dari segi fizikal.
“Sean ialah pemain tengah yang dinamik dan suka bermain secara vertikal. Dia mampu mengawal rentak permainan serta memecahkan garisan dengan hantaran dan larian membawa bola. Dari segi fizikal, dia juga telah meningkat dan kini lebih agresif tanpa bola,” ujarnya.
Namun beliau menegaskan masih terdapat ruang untuk perkembangan sebelum pemain itu diserap ke skuad utama.
“Masih ada perjalanan yang perlu dilalui sebelum dia sampai ke skuad senior, tetapi kami kini telah bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan potensi itu dapat direalisasikan,” tambahnya.
Dalam masa sama, Fetterlein meluahkan rasa bangga selepas menandatangani kontrak baharu bersama kelab Denmark itu.
“Saya sangat bangga dapat menandatangani kontrak baharu bersama FC Copenhagen. Banyak kerja keras telah dilakukan dan saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kelab,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga dan jurulatih yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga, jurulatih dan semua orang di sekeliling saya yang sentiasa membantu dan menyokong perjalanan saya,” tambahnya.
Fetterlein menegaskan bahawa lanjutan kontrak ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu dalam kariernya.
“Ini adalah permulaan kepada babak baharu. Saya masih dahagakan lebih banyak kejayaan dan sudah ada pelan yang jelas untuk masa depan saya di sini. Saya akan terus bekerja keras setiap hari untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.