Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan ketibaan pemain import baharu, Eddy Israfilov.
Tonggak kebangsaan Azerbaijan ini diperkenalkan sebagai pemain baharu JDT menerusi satu hantaran video di media sosial Johor Southern Tigers.
Beraksi di posisi tengah, Israfilov menyertai skuad Harimau Selatan sebagai ejen bebas setelah kontraknya bersama kelab lamanya, Neftchi Baku telah tamat.
Pemain berusia 32 tahun ini turut memiliki pengalaman luas beraksi di beberapa kelab di liga Sepanyol seperti Granda, SD Eibar dan Cadiz selain bermain di Azerbaijan.
Menurut Transfermarket, Israfilov telah mengumpul 26 kaps bersama skuad kebangsaan Azerbaijan sejak 2015 sehingga kini dan telah menyumbang satu bantuan jaringan.
Israfilov merupakan pemain baharu keempat JDT selepas Park Jun Heong, Enzo Lombardo dan penjaga gol muda, Christian Abad.