Barisan pemain Manchester United kagum dengan corak latihan yang diterapkan jurulatih baharu mereka, Ruben Amorim.
Pengurus Portugal berusia 39 tahun itu dibawa masuk sebagai pengganti Erik ten Hag pada 1 November lalu. Walau bagaimanapun, Amorim perlu menunggu sehingga 11 November kerana memenuhi notis bersama kelab lamanya, Sporting Lisbon.
Beliau akhirnya tiba bersama lima pembantunya di Carrington termasuk bekas jurulatih KL City FC, Emanuel Ferro. Mereka akan disertai penganalisis video, Eduardo Rosalini yang menunggu kelulusan permohonan visa sebelum menyertai United.
Memandangkan ramai pemain United masih belum pulang dari tugasan antarabangsa, sesi latihan pertama Amorim bukan saja disertai beberapa pemain utama pasukan itu. Bekas jurulatih Braga itu turut memanggil beberapa pemain muda berbakat untuk menyertai sesi sama.
Antara pemain yang menyertai sesi tersebut ialah Marcus Rashford, Casemiro, Kobbie Mainoo, Jonny Evans, Tom Heaton, Amad Diallo dan Mason Mount.
Beberapa pemain yang sebelum ini berehat lama akibat kecederaan iaitu Luke Shaw, Tyrell Malacia dan Leny Yoro turut menyertai sesi latihan pertama Amorim.
Sesi tersebut menyaksikan jurulatih Portugal itu berusaha menerapkan formasi 3-4-3 yang menjadi pilihannya semasa berada di Sporting. Selain itu, beliau turut mengadakan beberapa siri latihan untuk membantu mempertajamkan lagi kemahiran mereka.
Sesi berkenaan mendapat sambutan baik dalam kalangan pemain The Red Devils seperti Rashford. “Sesi yang hebat hari ini,” katanya di Instagram Story.
Sentimen positif bekas penyerang England itu turut dikongsi Casemiro. “Latihan yang terbaik,” katanya di X.
Amorim bakal mengharungi aksi pertamanya sebagai jurulatih United apabila pasukan itu menentang Ipswich Town pada awal pagi 25 November. Ini disusuli aksi Eropah pertamanya bila menentang wakil Norway, Bodo/Glimt pada awal pagi 29 November.