Pemain Paraguay Kena Kad Merah Kerana Tutup Mulut
MakanBola
Seleccion Paraguaya

Penyerang Paraguay, Miguel Almiron menjadi pemain pertama dalam sejarah Piala Dunia dilayangkan kad merah kerana menutup mulut.

The Touchline melaporkan insiden itu berlaku pada minit akhir separuh masa pertama perlawanan kedua Kumpulan D antara Paraguay dan Turkiye.

Almiron dikesan menutup mulut ketika mengatakan sesuatu kepada pemain Turkiye, Mert Muldur. Bek tengah Fenerbahce itu segera mengadukan perkara itu kepada pengadil berhubung tindakan bekas pemain Newcastle United itu.

Susulan itu, pengadil perlawanan, Ivan Barton diminta merujuk insiden itu di monitor oleh pembantu pengadil video (VAR). Sebaik mengetahui apa yang berlaku, pengadil El Salvador itu tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Almiron.

Piala Dunia 2026 menjadi kejohanan pertama yang menguatkuasakan kad merah untuk pemain yang menutup mulut ketika bertelagah dengan pemain lawan.

Peraturan ini digubal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan insiden pemain Benfica, Gianluca Prestianni menutup mulut ketika membuat ejekan terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Jr.

Insiden itu berlaku dalam aksi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada Februari lalu. Susulan itu, Prestianni kemudiannya dikenakan penggantungan enam perlawanan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

FIFA turut mengambil langkah menguatkuasakan peraturan melarang pemain menutup mulut dengan hukuman kad merah menanti si pelaku.