Pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil diberi peluang untuk menjalani latihan bersama salah satu kelab di Jepun.
Muhammad merupakan pemain tengah The Red Giants dan namanya mula dikenali apabila melakukan debut dalam saingan Liga Super musim 2023 pada berusia 18 tahun ketika menentang Negeri Sembilan.
Selain itu, kapten skuad muda Selangor ini juga berjaya mencatatkan penampilan di pentas Piala Asia Bawah 23 di Qatar pada April lalu apabila diturunkan ketika skuad muda negara berdepan Uzbekistan dan Vietnam.
Baru-baru ini juga nama Muhammad turut disenaraikan oleh ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Juan Torres Garrido untuk ke kem latihan pusat bagi menghadapi Kejuaraan Asean B-19 di Indonesia bulan hadapan.
Menurut perkongsian daripada Encik Abu Khalil iaitu bapa kepada Muhammad di laman Facebook, pemain berusia 19 tahun itu bakal menjalani latihan bersama Osaka FC dan mendoakan perjalanan anaknya itu dipermudahkan.
”Latihan bersama Osaka FC, semoga Allah SWT permudahkan segalanya,” tulis Encik Abu Khalil di laman Fecebook beserta tiga keping gambar bersama anaknya di lapangan terbang.
Osaka FC merupakan kelab divisyen 3 Jepun yang beraksi dalam saingan J3 League dan kini menduduki tangga keempat liga dengan 28 mata hasil tujuh kemenangan, tujuh keputusan seri dan empat kekalahan daripada 18 perlawanan.