Bukan sahaja rakyat Malaysia namun pemain Thailand turut khusyuk menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan.
Para pemain kebangsaan Thailand sempat meluangkan masa dibilik persalinan untuk mengetahui perkembangan Malaysia melawan Korea Selatan sebelum mereka turun bertemu Arab Saudi.
Perkara tersebut dikongsikan Persatuan Bola Sepak Thailand menerusi sebuah hantaran di laman Instagram malah pemain pertahanan Thailand, Elias Dolah turut sempat memuat naik story mengenai jaringan minit akhir Malaysia.
Pemain Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan baik memandangkan terdapat beberapa pemain negara yang pernah berkelana di liga Thailand seperti Dion Cools, Dominic Tan, Mohamadou Sumareh dan Junior Eldstal.
Thailand kemudian berjaya mengikat Arab Saudi yang dikendalikan oleh Roberto Mancini tanpa jaringan sekali gus melayakkan diri ke pusingan 16 Piala Asia 2023.
Pasukan yang dikenali sebagai Gajah Perang itu menamatkan saingan peringkat kumpulan F ditangga kedua setelah mengumpul 5 mata menerusi 1 kemenangan dan 2 keputusan seri.
Selain Thailand, Indonesia turut menempa nama ke peringkat seterusnya untuk menentang bekas juara Piala Asia 2015 iaitu Australia. Thailand dan Indonesia menjadi dua wakil ASEAN yang berjaya mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Masatada Ishii bakal berdepan cabaran Uzbekistan pada 30 Januari ini bertempat di Stadium Al Janoub, Qatar.