Beberapa jam lepas, skuad kebangsaan Malaysia kecundang secara agregat 3-1 kepada Thailand di peringkat separuh akhir kedua Piala AFF 2022. Walaupun kecewa dengan keputusan perlawanan, penyokong negara terutama Ultras Malaya tetap menjaga kesopanan mereka – satu perkara yang menyentuh perasaan kontinjen Gajah Perang.
Buktinya, Ultras Malaya mengetuai penyokong Malaysia menyanyikan lagu khas yang ditujukan kepada tuan rumah yang berjudul ‘Sawadikap Hey Hey Hey Thailand’. Nyanyian mereka menarik perhatian skuad Thailand dan lensa kamera media seperti disiarkan dalam ciapan akaun Twitter AFF Mitsubishi Electric Cup.
Dalam video tersebut, skuad Thailand turut bertepuk tangan bila mendengar nyanyian Ultras Malaya. Ini termasuk kapten Theerathon Bunmathan dan pengurus pasukan Nualphan Lamsam atau Madam Pang.
Disebabkan hal ini, ia mendapat maklum balas positif ramai pengguna laman media sosial termasuk warga Thailand. Bagi mereka, lagu tersebut menggambarkan semangat persahabatan Malaysia dan Thailand yang terus utuh walaupun bersaing di atas padang.
Ini bukan kali pertama lagu tersebut dimainkan buat skuad Gajah Perang. Beberapa tahun sebelumnya, Ultras Malaya turut menyanyikan lagu tersebut selepas Malaysia berjaya menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 pada 2019.
Dengan kejayaan layak ke final, skuad Thailand berpeluang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2020. Tetapi mereka perlu mengatasi skuad Vietnam yang ingin menjulang piala tersebut buat kali pertama sejak edisi 2018.