Thailand Mara Ke Final Piala AFF 2022 Tewaskan Malaysia
Piala AFF
Changsuek
Advertisements

Thailand memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri apabila membenam Malaysia di Stadium Thammasat menerusi keputusan agregat 3-1. Ini sekaligus melayakkan mereka ke final Piala AFF buat kali ke-10.

Skuad Gajah Perang yang dibimbing Mano Polking menyerang kubu pertahanan Harimau Malaya sebaik sepak mula. Dan mereka mendahului pada minit ke-19 menerusi Teerasil Dangda menerusi satu hantaran lintang yang dibuat Theerathon Bunmathan.

Tersentak, Malaysia cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Darren Lok pada minit ke-37. Pertahanan Thailand terlepas kawalan bola dan ia direbut oleh Nor Hakim Hassan sebelum dihantar kepada Darren dalam kotak penalti. Bagaimanapun, penyerang baru Sabah itu kecewa apabila tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Kampol Pathomakkakul.

Advertisements

Beberapa minit selepas itu, Harimau Malaya mendapat sepakan percuma selepas Faisal Halim dijatuhkan oleh Theerathon. Tetapi sepakan percuma yang diambil pemain tengah muda Selangor, Mukhairi Ajmal berjaya ditangkap Kampol. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, jurulatih negara Kim Pan-gon memasukkan V. Ruventhiran dan Lee Tuck bagi memperkemas rentak Harimau Malaya. Manakala Polking pula memasukkan Adisak Krasorn menggantikan Teerasil.

Tuan rumah terus menggandakan jaringan menerusi Bordin Phala pada minit ke-55. Ekanit Panya yang tidak dikawal melorongkan bola kepada Bordin sebelum melepaskan rembatan menewaskan Syihan Hazmi Mohamed.

Advertisements

Lima minit selepas itu, Faisal hampir mencemaskan pertahanan Gajah Perang apabila melepaskan rembatan dari luar kotak penalti. Tetapi malangnya, sepakan yang diambil pemain sayap Selangor itu terlampau kuat dan terbang melepasi palang gol.

Thailand menyumbat gol ketiga menerusi Adisak pada minit ke-71. Suphanan Bureerat membuat satu hantaran lintang kepada penyerang import baru Terengganu itu tetapi dia tergelincir semasa cuba menolak bola. Tetapi Adisak bernasib baik bola terkena tiang sebelum mudah ditolak ke dalam gawang Malaysia.

Anak-anak buah Polking terus memburu gol dan hampir mendapat gol keempat menerusi Peeradol Chamratsamee. Bagaimanapun, ia berjaya ditepis Syihan Hazmi sebelum bola berjaya dikeluarkan dari kotak penalti Malaysia. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Dengan kemenangan ini, skuad Thailand bakal menerima bonus final RM638,000. Tetapi skuad Gajah Perang perlu bekerja lebih keras mengatasi Vietnam untuk mempertahankan Piala AFF yang dimenangi pada edisi lepas.

Ini kerana Vietnam juga mahu menjulang Piala AFF di pentas final agar dapat dijadikan sebagai hadiah perpisahan buat jurulatih mereka, Park Hang-seo.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram