Seorang penyokong Timnas Indonesia mencuri perhatian kerana membuat satu ciapan di X yang merendah-rendahkan taraf saingan ASEAN Hyundai Cup.
Ciapan tersebut dibuat seorang peminat bernama Fans Bola Aja. Peminat itu dilihat merendah-rendahkan saingan tersebut dengan menganggap ia ketinggalan berbanding saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
“Beza kelas! Pemain Vietnam pamer lencana emas juara AFF di depan Indonesia. Kini giliran pemain Timnas Indonesia, Calvin Verdonk, yang menunjukkan logo UCL. Dari pertandingan ASEAN ke pertandingan Eropah. Tahapnya berbeza,” katanya.
Meskipun begitu, ramai penyokong Indonesia yang tidak bersetuju dengan pandangannya. Seorang peminat bernama Alexander menyifatkan itu langsung tiada kena-mengena.
Dia melihat tindakan pemain Vietnam menunjukkan lencana emas juara itu menunjukkan prestasi pasukan itu di pentas antarabangsa termasuk ASEAN Hyundai Cup. “Pemain Vietnam itu menunjukkan prestasi negaranya, bukan individu,” katanya.
Seorang lagi penyokong bernama Cak Yon turut senada dengan Alexander. Dia melihat Indonesia terpaksa menelan hakikat terkandas di peringkat kumpulan dengan Vietnam kini beraksi di final.
“Ya, tidak boleh, sudah kalah, kalah saja. Timnas masih di bawah Thailand dan Vietnam,” katanya.
Seorang penyokong lain bernama Giselle Dbrh pula menganggap perbandingan sebegitu sebagai tidak adil. “Menurut saya kalau di bandingkan seperti ini tidaklah adil.
“Menurut saya akui saja kalau memang kita berbeza tahap di pertandingan AFF dengan Vietnam terbukti. Kita belum pernah dapat piala AFF,” ujarnya.
Vietnam kini memiliki kelebihan dua gol untuk aksi timbal balik selepas menewaskan Thailand 2-0 dalam aksi final pertama.