Advertisements
Pemain Yakin Selangor Akan Pergi Lebih Jauh Dengan Nidzam Jamil
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Pemain pertahanan meningkat naik, Harith Haiqal percaya kredibiliti yang ada pada Nidzam Jamil mampu membawa pasukan Selangor melangkah lebih jauh bagi musim 2024/25.

Selangor kini telah mengumumkan secara rasmi pelantikan Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih Gergasi Merah yang baharu setelah pemergian Tan Cheng Hoe ke Police Tero.

Jurulatih berusia 43 tahun itu memiliki pengalaman yang cukup luas bersama Selangor memandangkan beliau pernah berkhidmat selaku penolong jurulatih Selangor dibawah dua ketua jurulatih berbeza sebelum ini bersama Michael Feichtenbeiner dan Tan Cheng Hoe.

Harith Haiqal yang menyumbang 3 gol buat Selangor dipentas Liga Super musim lalu yakin pelantikan Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih baharu Selangor adalah keputusan yang tepat.

“Secara peribadi saya sangat gembira untuk dia (Nidzam Jamil). Saya rasa sudah 3 tahun dia jadi penolong jurulatih dan saya sudah bekerja hampir 3-4 tahun bersamanya. Dia seorang yang sangat bagus dan berwibawa.”

“InsyaAllah tahun ini pasukan Selangor akan pergi lebih jauh. Saya rasa dengan cara dan gaya dia sesuaikan pemain dia akan bawa pasukan Selangor dengan baik.”

“Saya rasa jurulatih Tan Cheng Hoe percayakan dia sebab dah bersama hampir setahun lebih. Kebanyakan pemain pun gembira dengan keputusan yang pengurusan Selangor buat kerana kebanyakan pemain sangat selesa dengannya diluar dan didalam padang.”

“Dia sangat profesional, didalam padang dia sangat tegas tapi diluar dia anggap kami seperti anak-anaknya. Itu yang sangat selesa bagi kami (pemain Selangor).” ujar Harith Haiqal.

Harith Haiqal bakal memperkuatkan jentera pertahanan Harimau Malaya bagi membantu cabaran Malaysia berdepan Oman dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 pada 22 Mac dan 26 Mac ini.