Bekas penolong jurulatih Roberto Mancini, Angelo Gregucci percaya Jepun mampu bersaing jika bertanding dalam saingan Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO).
Pandangan jurulatih berusia 60 tahun itu dibuat selepas mengamati kekuatan semasa anak buah Hajime Moriyasu itu.
Samurai Biru terus mengekalkan rekod kebal dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 apabila membelasah Indonesia 4-0 pada 15 November lalu.
Takumi Minamino, Hidemasa Morita, Yukinari Sugiwara dan gol sendiri Justin Hubner memastikan Jepun terus unggul sebagai pendahulu Kumpulan C dengan 13 mata.
Gregucci berpandangan ramai pemain Jepun yang beraksi di luar negara terutama Eropah memberi kelebihan buat pasukan itu dari segi teknikal.
Atas sebab itu, bekas jurulatih Manchester City itu melihat Samurai Biru bukan saja mampu bertanding di peringkat EURO. Malah, Gregucci percaya Jepun mampu menggugat pasukan-pasukan terkuat benua berkenaan.
“Sudah tiba masanya Arab Saudi menghantar pemain-pemain mereka beraksi di liga-liga utama Eropah. Pada masa lalu, semua pemain terbaik berada di Arab Saudi.
“Terdapat beberapa negara di Asia yang menunjukkan kemajuan. Jepun satu pasukan yang kuat dan boleh bersaing di EURO kerana terdapat ramai pemain mereka di liga-liga besar Eropah,” katanya kepada Sportitalia.
Jepun kini bersedia untuk menghadapi cabaran China di Xiamen pada 19 November ini. Aksi ini disifatkan aksi balas dendam buat anak buah Branko Ivankovic.
Ini selepas Jepun membelasah China 7-0 di Saitama pada September lalu. Sekiranya Samurai Biru berjaya meraih satu lagi kemenangan, pasukan itu semakin menghampiri tiket kelayakan secara merit ke Piala Dunia 2026.