Undian melibatkan beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan telah mencetuskan kerisauan dalam kalangan peminat.
Pasangan negara yang berada di ranking ke-13 dunia itu bakal berada ujian getir setelah diundi berada di kumpulan A bersama-sama tiga lagi lawan yang masing-masing memegang status besar.
Sesi undian yang berlangsung di Ibu Pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu menyaksikan Pearly-Thinaah diundi bersama pasangan nombor satu dunia, Chen Qin Chen-Jia Yi Fan yang juga pemenang pingat perak di Tokyo 2020.
Selain Qin Chen-Yi Fan, juara dunia 2 kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara turut berada di kumpulan A selain gandingan Apriyani Rahayu-Siti Fadia dari Indonesia yang muncul naib juara Kejohanan Dunia tahun lalu.
Malah, Apriyani juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu bersama pasangannya yang lalu, Greysia Polli setelah menewaskan Qin Chen-Yi Fan di final dalam aksi dua set.
Status besar yang dimiliki lawan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan ini buatkan para peminat badminton tanah air gusar dengan perjalanan mereka di peringkat kumpulan di Paris nanti.
”Sememangnya cabutan undian yang buruk untuk Pearly (Tan) dan Thinaah (Muralitharan),” tulis salah seorang peminat badminton, Lee Seng Foo di laman X.
Hasil pemerhatian UltraSukan di ruangan komen Persatuan Badminton Malaysia juga mendapati ramai peminat yang bersetuju dengan istilah ‘kumpulan maut’ yang diberikan kepada kumpulan A yang diduduki pasangan negara.
Selain Pearly-Thinaah, sesi undian ini turut melibatkan tiga lagi wakil badminton negara ke Paris nanti iaitu Lee Zii Jia, Goh Jin Wei dan juga pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Acara badminton bagi Sukan Olimpik Paris 2024 ini bakal membuka tirai bermula 27 Julai hingga 5 Ogos hadapan di La Chapelle Arena dengan lima wakil hebat dari Malaysia akan turun bagi merealisasikan impian merangkul emas pertama buat negara.