Advertisement
Olimpik 2024: Lee Zii Jia Hadapi Dua Jaguh Dunia, Viren Nettasinghe & Pablo Abian
UltraSukan
UltraSukan
Sathio Group Australian Open

Wakil perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia berdepan cabaran daripada wakil Sepanyol dan Sri Lanka dalam saingan kumpulan G bagi sukan badminton di Olimpik Paris 2024.

Lee Zii Jia kini berada di prestasi terbaiknya apabila muncul juara dalam kejohanan Australian Open dan Thailand Open beberapa minggu yang lalu selain meraih gelaran naib juara di Malaysia Masters 2024.

Pada sesi undian yang berlangsung di Kuala Lumpur itu, jaguh kelahiran Kedah ini yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan telah diundi berada di dalam kumpulan G bersama pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe dan Pablo Abian dari Sepanyol.

Selain Zii Jia, sesi undian ini turut melibatkan tiga lagi wakil negara dalam 3 acara berbeza setelah proses undian bagi acara beregu lelaki yang melibatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik telah ditunda ke tarikh yang akan diumumkan kelak.

Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi di dalam kumpulan D bersama jaguh dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat selain pasangan Singapura, Hee Yong Kai Terry-Jessica Tan.

Bagi acara beregu wanita, laluan berliku menanti pasangan negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan apabila akan diuji pasangan China, Chen Qin Chen-Jia Yi Fan selaku pilihan pertama selain kehadiran wakil Jepun dan Indonesia di kumpulan A.

Harapan negara bagi acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang berada di ranking ke-33 dunia akan bersaing di dalam kumpulan H bersama pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun dan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan.

Undian bagi acara beregu lelaki terpaksa ditunda oleh pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ke satu tarikh yang akan ditetapkan nanti susulan isu yang melibatkan beregu dari Perancis.

Acara badminton bagi Sukan Olimpik Paris 2024 ini bakal membuka tirai bermula 27 Julai hingga 5 Ogos hadapan di La Chapelle Arena dengan lima wakil hebat dari Malaysia akan turun bagi merealisasikan impian merangkul emas pertama buat negara.