Janji Besar Lee Zii Jia Kepada Rakyat Malaysia Di Olimpik
UltraSukan

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bertekad untuk menghadiahkan rakyat Malaysia sebuah kejayaan dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi.

Zii Jia yang merangkul gelaran juara di Australian Open beberapa minggu yang lalu kini berada di prestasi terbaiknya setelah tampil cemerlang dengan mara ke tiga aksi final dalam tempoh dua bulan sebelum ini.

Ditambah pula, peningkatan ranking pemain kelahiran Kedah baru-baru ini yang menyaksikan lonjakan sebanyak dua anak tangga untuk berada di kedudukan ketujuh dunia, memintas juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Ketika sesi pertemuan bersama Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, Ketua Kontinjen Malaysia minggu lalu, Zii Jia berikrar untuk memberikan persembahan terbaiknya di atas gelanggang nanti demi menjulang nama negara.

Pemain berusia 26 tahun itu memaklumkan kepada Datuk Haji Hamidin bahawa beliau mahu memanfaatkan peluang beraksi di Paris nanti untuk meraih kejayaan meskipun tahu akan ada lagi temasya sukan tersebut empat tahun lagi.

”Lee Zii Jia berjanji dia nak buat sesuatu yang terbaik buat Malaysia, walaupun dia tahu (Sukan Olimpik) 2028 nanti dia ada lagi peluang yang mana ketika itu dia berusia 30 tahun,” ujar Datuk Hamidin kepada media selepas bertemu Lee Zii Jia.

Tambah Datuk Hamidin, Zii Jia sedar dengan kedudukan rankingnya yang terkini, beliau berhasrat untuk mencipta kejutan di Paris nanti namun semua itu bergantung kepada sesi undian nanti.

”Dia (Lee Zii Jia) mempunyai keinginan untuk membuat kejutan nanti walaupun dia tahu ranking dia di kedudukan ketujuh dan seperti yang saya katakan awal, undian bagi sukan badminton ini sangat penting,” tambah Datuk Hamidin lagi.

“Daripada gaya dia (Lee Zii Jia) berkata dan komitmen Wong Tat Meng, saya nampak dia mempunyai impian yang tinggi untuk melakukan sesuatu (buat Malaysia) dan sekarang ini dia bebas dari sebarang kecederaan.”

Sesi undian bagi sukan badminton di Olimpik nanti bakal berlangsung pada 12 Julai ini di Ibu Pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Kuala Lumpur.