Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain perseorangan keenam dunia, Kodai Naraoka untuk meraih gelaran juara Australian Open 2024.
Ini gelaran juara kedua Zii Jia dalam tahun 2024 selepas bergelar juara Thailand Open 2024 pada bulan lalu.
Selepas melepasi cabaran Lee Chia Hao di peringkat separuh akhir semalam, kini hanya tinggal Naraoka sebagai penghalang untuk beliau bergelar juara.
Dari segi rekod perlawanan lalu, kelebihan memihak kepada pemain Jepun itu dengan tiga kemenangan daripada lima perlawanan.
Naraoka berharap dapat menebus kekalahan di tangan Zii Jia selepas tewas dalam saingan All England Open 2024. Bekas juara edisi 2021 itu menang dengan keputusan 21-12, 21-19.
Set pertama menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan Naraoka membenarkan Zii Jia mendahului pada kedudukan 9-5.
Meskipun cuba diberi tentangan sengit oleh bekas juara China Masters 2023 itu, Zii Jia kekal tenang sebelum menang dengan keputusan 21-19.
Set kedua menyaksikan Naraoka bangkit dan mendahului pada kedudukan 11-6. Zii Jia cuba mengejar tetapi pemain Jepun itu mengungguli set kedua dengan keputusan 21-11.
Ini menyebabkan perlawanan diheret ke set penentuan. Set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain hanya dipisahkan satu mata pada kedudukan 11-10.
Zii Jia kemudiannya mula mempamerkan pukulan-pukulan smash yang gagal disekat Naraoka. Pemain Jepun itu kemudiannya mengejar dan mengikat kedudukan 18-18.
Meskipun cuba disaingi Naraoka, beberapa kesilapan pemain Jepun itu sudah cukup buat Zii Jia bergelar juara dengan meraih keputusan 21-18.
Juara menerima hadiah wang kejuaraan bernilai AS$9,200 (RM43,413). Sementara naib juara pula menerima hadiah wang berjumlah AS$7,800 (RM36,807).