Salah satu penaja Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini iaitu Olive House menjelaskan mengapa masih kekal menaja pasukan itu buat tahun ketiga berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Olive House, Ustaz Aidil Azwal Zainudin berkata segala keputusan syarikat untuk terus menaja Kedah adalah berdasarkan keberadaan Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar di dalam organisasi kelab tersebut.
“Masuk tahun ke 3 Aafiyat Group atas brand Olive House memberikan sponsor kepada KDA FC. Hakikatnya berikan support kepada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
“Semasa krisis KDA memuncak, bermacam reaksi dan pelbagai pihak datang kepada saya bertanya itu dan ini. Saya kata, saya bersama KDA sebab Tan Sri dan saya minta masukkan dalam kontrak jika Tan Sri tak bersama KDA, kami juga keluar. Exit clause letakkan syarat tersebut dan dipenuhi. Agenda kami melebihi ‘kemaruk’ bola,” coret Ustaz Aidil di laman Facebook miliknya.
Dalam masa yang sama, Ustaz Aidil juga memuji personaliti Tan Sri Daud Bakar yang tidak pernah lari daripada tanggungjawab walaupun pada satu ketika, Kedah mengalami masalah kewangan yang meruncing.
“Tan Sri berada pada fasa yang sangat mencabar tetapi beliau anak jantan dan hadap serta pikul tanggungjawab. Nak exit atau settle masalah ada banyak cara tapi beliau tak pilih jalan tersebut. Beliau kekal untuk pastikan kelab bola ini kekal dan bergerak.
“Tan Sri daripada cara saya kenal, cara bekerja bukan semata soal bola tetapi terdapat agenda dakwah yang beliau ingin realisasikan,” luahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Kedah kini masih dalam proses mencari penaja utama yang baharu selepas calon penaja utama pasukan itu menghadapi kekangan saat akhir.
Kedah di bawah kendalian Nafuzi Zain bakal memulakan saingan Liga Super musim 2024/2025 dengan aksi menentang PDRM FC petang ini (11 Mei) di Stadium Selayang.