Advertisement
Penaja Utama Kedah Hadapi Masalah Besar Saat Akhir
Liga Super
MakanBola
KDA FC

Kedah Darul Aman berdepan kekangan untuk memulakan saingan Liga Super musim 2024/25 apabila penaja utama pasukan menghadapi kekangan saat akhir.

Perkara ini disahkan oleh Kedah Darul Aman menerusi satu kenyataan rasmi hari ini yang memaklumkan mengenai status penaja utama Sang Kenari dan juga perlawanan pembukaan Liga Super.

“Untuk makluman, selepas KDA FC menyelesaikan permasalahan utama bulan lepas, pihak pengurusan kini menumpukan sepenuh perhatian dalam menarik pelabur dan penaja seterusnya mengenal pasti syarikat swasta berpotensi untuk bekerjasama bagi musim 2024/25.

“Walaupun kelab ini menerima maklum balas positif berkenaan tawaran penajaan kelab, pihak pengurusan menempuh pelbagai cabaran dalam mengikat penaja utama untuk melancarkan perjalanan kelab bermula perlawanan Liga Super 11 Mei ini.

Kedah mengesahkan telah pun menerima tawaran swcara lisan daripada syarikat namun penaja tersebut menghadapi kekangan saat akhir.

“Pada peringkat awal pada bulan Februari, KDA FC telah secara lisan menerima tawaran tajaan sebagai penaja utama kelab.

“Namun begitu, langit tidak selalu cerah, berlaku insiden yang tidak diduga menyebabkan syarikat tersebut menghadapi masalah besar sehingga perniagaan syarikat tersebut merosot yang menyebabkan pihak kelab terpaksa menolak tawaran tajaan di saat akhir,” jelas Kedah dalam satu kenyataan.

Oleh sebab itu, proses pencarian penaja utama diteruskan yang mana ketika ini mash terbuka kepada mana-mana syarikat berminat.

Kedah juga telah berbincang dengan Penaja Bersama KDA FC, AL Sports Sdn. Bhd. (ALX, Penaja Kit Rasmi), berkenaan jersi perlawanan Liga Super musim 2024/25 tanpa slot penaja utama.

Keputusan yang dicapai adalah AL Sports Sdn. Bhd. tidak akan mengeluarkan kit jersi perlawanan Liga Super KDA FC musim 2024/25 sehingga penaja utama kelab disahkan.

Ini berdasarkan muafakat bersama antara KDA & AL Sports Sdn. Bhd. dengan mengambil kira kos efektif dan pemasaran AL Sports Sdn. Bhd. dalam situasi menang-menang.

Bagi perlawanan bulan Mei, KDA akan memakai jersi Pra-Musim 2024/25 untuk buat sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 perlawanan pertama Liga Super.

Slot penaja utama mash terbuka dengan pihak pengurusan kelab sedang giat menarik bakal penaja baharu sehingga satu tempoh yang ditetapkan.