Penaja utama pasukan Kedah Darul Aman FC yang bakal memberikan nilai tambah sekitar RM10 Juta bakal terjawab.
Perkara ini disahkan oleh Pemilik Saham Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar dalam satu kenyataan mengenai makluman Pelancaran Jersi dan Status Perekonomian KDA FC.
Katanya, Sang Kenari Giat menjalankan pencarian untuk mendapatkan penaja utama pasukan bagi mengharungi musim 2024/25.
Penantian untuk mendapatkan penaja utama ini difahamkan bakal menemui titik noktah apabila akan diumumkan tidak lama lagi.
“Berkenaan isu penaja, alhamdulillah kita dah dapat banyak perkembangan dan kita sedang memuktamadkan beberapa penaja yang berpotensi menjadi penaja pertama dan kedua.
“InsyaAllah kita akan umumkan apabila kita mendapat hitam putih daripada penaja dalam masa terdekat sebelum pelancaran jersi baharu,” jelas Daud Bakar dalam sesi siaran langsung baru-baru ini.
Daud Bakar juga meminta agar penyokong Kedah dapat mendoakan kerana pasukan itu amat memerlukan penajaan pada ketika ini.
Beliau sebelum ini pernah memaklumkan bahawa penaja utama perlu menyumbang sekitar RM8-10 Juta bagi melancarkan perjalanan Sang Kenari.
“Ya, bajetnya agak banyaklah. Bajetnya melibatkan jutaan ringgit ya. Bukan satu atau dua juta tetapi lebih daripada 10 juta. Jadi, kita perlukan bajet yang besar untuk 15 bulan untuk musim ini, bukan 12 bulan.
“Jadi, kita perlukan penajaan yang besar. Dan penaja utama biasanya bernilai lapan hingga 10 juta. Jadi, kalau ada penaja utama, Insya Allah kita boleh berjalan sebab kita sudah ada sokongan daripada penaja-penaja yang kecil.