Sepakan penalti yang melambung tinggi daripada bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menyebabkan Al-Nassr tersingkir dari saingan Saudi King’s Cup 2024/2025.
Pada Rabu, Al-Nassr turun melayani kunjungan Al-Taawoun di peringkat 16 terakhir Saudi King’s Cup selepas masing-masing cemerlang melepasi halangan di pusingan pertama.
Kesebelasan utama Al-Nassr diketuai oleh Cristiano Ronaldo sambil Sadio Mane berada di bangku simpanan manakala Al-Taawoun membariskan nama-nama seperti Joao Pedro dan Musa Barrow.
Permainan di babak pertama berlangsung sengit dengan Al-Nassr lebih mendominasi serangan ke arah pintu gol pelawat namun tiada jaringan yang terhasil menuju bilik persalinan.
Kembali dari rehat, tuan rumah semakin kerap hadir memberi ancaman menerusi gerakan oleh Anderson Talisca, Wesley dan Angelo dalam usaha mencari gol pertama perlawanan.
Al-Taawoun yang dibimbing oleh Rodolfo Arruabarrena pula lebih banyak bertahan untuk menyerap asakan Al-Alami dan melakukan serangan balas pantas bagi memerangkap lawan.
Jaringan yang dicari akhirnya tiba hasil sepakan penjuru Al-Taawoun yang ditanduk kencang oleh pertahanan, Waleed Al-Ahmed untuk memimpin permainan pada minit ke-71.
Al-Nassr yang tertekan mula mengasak bertubi-tubi ke arah gawang Al-Taawoun dan peroleh peluang keemasan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti di masa tambahan.
Kapten, Cristiano Ronaldo diberi tugas penting ini untuk tuan rumah kembali mengikat kedudukan namun malang apabila sepakan bintang Portugal itu melambung melepasi palang gol.
Kegagalan Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti itu menggembirakan Al-Taawoun yang muncul pemenang aksi tersebut dengan keputusan 1-0 untuk layak ke pusingan seterusnya.
Penyingkiran Al-Nassr ini menyaksikan pasukan bimbingan Stefano Pioli tidak berjaya mengulangi pencapaian mara ke final Saudi King’s Cup seperti musim lalu.