Vietnam telah dilaporkan mengatur satu aksi persahabatan menentang Myanmar sebelum bermulanya Kelayakan Piala Asia 2027 pada bulan Mac ini.
Umum mengetahui Vietnam telah diundi bersama Malaysia di dalam kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 selain Laos dan Nepal dengan hanya juara kumpulan bakal melayakkan diri.
Oleh itu, Vietnam dikhabarkan telah merancang persiapan rapi dengan mengatur satu aksi pemanas badan berdepan negara di ranking ke-169 dunia, Myanmar pada bulan Mac.
Menerusi laporan The Thao Vietnam, pasukan kendalian Kim Sang-sik bakal turun berdepan Myanmar sebelum membuka kempen Kelayakan Piala Asia menentang Laos pada 25 Mac.
”Vietnam akan membuka tahun 2025 dengan perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Stadium Binh Duong pada penghujung Mac,” lapor The Thao Vietnam.
”(Aksi persahabatan) ini sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027,” tambah media tempatan itu lagi.
Kali terakhir Vietnam dan Myanmar bertemu adalah ketika di aksi ASEAN Mitsubishi Electric Cup lalu yang dimenangi oleh Golden Star Warriors itu dengan keputusan 5-0.
Vietnam akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia berdepan Laos pada 25 Mac sebelum terbang ke Kuala Lumpur bagi perlawanan kedua bertemu Malaysia pada Jun.