Sebuah kelab Cypurs dikatakan telah meminta profil pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk dibawa beraksi di Eropah.
Perkara ini dikongsikan oleh pencari bakat Malaysia di Sepanyol bersama Velez FC, Qayyum Shaharuddin kepada Harimau Malaya bahawa kelab tersebut menyatakan minat untuk mendapatkan pemain sayap tersebut.
Menerusi satu sesi audio siar tersebut, pencari bakat Malaysia ini mendedahkan bahawa kelab tersebut ada bertanya mengenai seorang pemain yang sedang beraksi cemerlang di Liga Malaysia iaitu Arif Aiman.
“Sebelum mereka (kelab Cyprus) itu berhubung dengan saya, mereka sudah pun mengetahui tentang Arif Aiman. Mereka tahu tentang Malaysia sebab Arif Aiman.”
“Saya pun memberikan laporan ringkas mengenai Arif tentang corak permainan, kelebihan dan kekurangan Arif dan mereka (kelab Cyprus) itu yakin bahawa Arif memiliki profil yang sesuai dengan permainan pasukan,” jelasnya kepada Harimau Malaya.
Kelab tersebut bagaimanapun berdepan halangan untuk mendapatkan khidmat tersebut dengan tiada usaha untuk berhubung dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Qayyum juga telah mencadangkan beberapa nama lain antaranya perancang tengah Sabah FC, Stuart Wilkin, pemain Sri Pahang, Baqiuddin Shamsudin dan penyerang muda negara, Haqimi Rosli.
“Saya juga mencadangkan tiga nama (Stuart, Baqiuddin dan Haqimi) kepada kelab tersebut, mereka berminat tetapi mereka sudah memiliki terlalu ramai pemain tengah dan penyerang jadi ia terhenti di situ sahaja.”
Arif bagaimanapun sudah mengukuhkan reputasi beliau di Asia selepas meledak dua gol di Liga Juara-Juara AFC (ACL) selain 8 gol dan 10 bantuan gol di Liga Super 2023.