Pencari bakat Eropah telah mengesan potensi sebenar penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin sejak 7 tahun lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu kini berkelana di Jepun bersama Yokohama SCC secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.
Beliau telah menjadi antara bualan hebat selepas berjaya menempah tempat untuk membawa diri ke Liga Belgium pada usia yang cukup muda.
Baru-baru ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Abu Bakar berkongsi detik awal NFDP yang menyaksikan Luqman Hakim dibawa ke Eropah.
“Masa itu, kita dahagakan pemain-pemain yang boleh dibawa keluar untuk bermain di luar. Sebab di seluruh negara malah dalam NFDP pun, memang impian kita nak bawa keluar.
“Jadi, kita nak cuba dengan kumpulan pertama. Kebetulan, nak jadikan cerita, masa main AFC B-16 di sini. Luqman meletup dan jadi penjaring terbanyak walaupun hanya bermain dua perlawanan.
“Jadi, Luqman meletup. Setiap kali (kejohanan) AFC, ada pegawai FIFA yang buat laporan. Ada juga pihak-pihak yang buat tinjauan bakat. Sebab itu yang dia boleh masuk Top 50 bakat sebab ada orang yang tengah tengok dia meletup masa itu.
Keadaan menjadi lebih baik selepas pemilik kelab Kv Kortrijk, Tan Sei Vincent Tan berminat untuk membawa bakat muda Malaysia itu ke Eropah.
“Sebab itu nama dia jadi naik dan bila nama dia naik, kebetulan ada orang Malaysia yang memiliki kelab di Eropah (Tan Sri Vincent Tan). Dia pun ada rasa keyakinan untuk bawa pemain ini.
“Yang paling penting main bila umur 18 (dan) bila main ke luar negara (ialah) penerimaan kelab itu terhadap dia. Kalau jurulatih itu betul-betul nak, bagi keputusan kepada jurulatih itu nak.
Luqman mengharungi permulaan baik di Belgium apabila menjaringkan gol ketika kali pertama beraksi buat skuad muda KV Kortrijk.
“Tapi kita mungkin sedikit teruja bagi dia main skuad utama padahal boleh bagi dia letak di (skuad) B-21 ke. Sebab dia main sekali untuk skuad B-21, dia terus jaringkan gol,” jelasnya kepada Koppa TV.
Luqman telah muncul selaku penjaring terbanyak AFC U16 Championship dengan 5 jaringan pada tahun 2017/18 selain merekodkan 3 gol ketika aksi di Sukan SEA tahun 2021/22.