Harimau Malaya berpotensi untuk menerima sentuhan pemain kacukan dari Jepun.
Baru-baru ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan bahawa bakal ada 6 hingga 7 pemain yang berpotensi mewakili skuad kebangsaan.
Para pemain yang dimaksudkan ini berasal dari Eropah Selatan dan beraksi pada liga tertinggi di Eropah.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga pemain sayap kiri.
“Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,” tambah penjelasan DYAM Tunku Ismail.
Kemas kini laman Transfermarkt menunjukkan terdapat seorang pemain kacukan Australia-Jepun iaitu Joe Caletti yang berpotensi untuk mewakili Harimau Malaya.
Tonggak berusia 26 tahun ini kini menyertai kelab J3 League, Tochigi City daripada kelab terkemuka Australia, Brisbane Roar yang bakal dimuktamadkan pada 20 Januari 2025.
Beliau didakwa lahir di Kuala Lumpur, Malaysia pada tahun 1998 dan menghabiskan sebahagian besar kariernya di Australia.
Joe pernah membawa haluan ke Norway dengan menyertai Floro SK pada tahun 2019/2020 menerusi perpindahan percuma sebelum pulang menyertai Adelaide United.

Tonggak tengah ini juga merupakan bekas pemain Australia B-23 dan memiliki nilai pasaran sekitar 250,000 Euro (RM1.2 Juta).
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung potensi pemain ini menyarung jersi Malaysia menjelang sepak mula Kelayakan Piala Asia 2027.