Aksi Kelayakan Piala Dunia antara Indonesia dan Bahrain dicemari dengan keputusan kontroversi dari pengadil.
Indonesia hadir ke gelanggang lawan untuk bertemu Bahrain dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan C Kelayakan Piala Dunia dengan misi mengutip tiga mata penuh.
Anak didik Shin Tae-yong hadir dengan momentum setelah berhasil mengikat dua pasukan gergasi dari benua Asia iaitu Arab Saudi dan Australia dalam 2 perlawanan awal sebelum ini.
Dalam aksi tersebut, tuan rumah terlebih dahulu di hadapan menerusi sepakan percuma Jasim Marhoon pada minit ke-15 sebelum Ragnar Oratmangoen mengikat kedudukan ketika masa kecederaan babak pertama.
Kembali dari bilik persalinan, Indonesia mencipta kejutan apabila Rafael Struick meledak gol kedua Sang Garuda pada minit ke-74 sekaligus membuatkan Bahrain tidak senang duduk.
Kedudukan 2-1 mahu dipertahankan oleh wakil tunggal Asia Tenggara ini bagi merealisasikan misi membawa pulang tiga mata dengan permainan berbaki 6 minit di masa tambahan babak kedua.
Walau bagaimanapun, pengadil perlawanan, Ahmed Abu Bakar Said Al-Kaf masih tidak meniupkan wisel penamat meskipun permainan sudah melebihi tambahan masa enam minit yang diberikan.
Ini memberi peluang buat Bahrain untuk mengatur serangan dan berhasil memperoleh sepakan sudut yang membolehkan Jasim Marhoon menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-99.
Perkara ini membuatkan kem Indonesia tidak berpuas hati dan beranggapan kemenangan mereka telah diragut oleh Ahmed Abu Bakar Said Al-Kaf yang memberi lebihan masa buat Bahrain.
Keputusan seri 2-2 ini kekal dan Indonesia terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan kekal di tangga kelima kumpulan, satu mata di belakang Bahrain yang berada di tempat ke-4.
Selepas ini, Indonesia bakal berangkat ke Qingdao untuk aksi berdepan China pada 15 Oktober hadapan manakala Bahrain pula akan menentang Arab Saudi di Jeddah sehari kemudian.