Pemain sayap Singapura, Faris Ramli percaya pengalaman final Piala FA 2015 cukup berguna menjelang aksi separuh akhir kedua ASEAN Championship 2024 menentang Vietnam.
Singapura ketinggalan 2-0 dari segi agregat selepas tewas kepada Pahlawan Bintang Emas pada 26 Disember lalu.
Penalti Nguyen Tien Linh dan gol penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son memastikan Vietnam memiliki kelebihan selesa di Stadium Viet Tri.
Meskipun perlu beraksi di gelanggang lawan, Faris percaya The Lions mampu mencipta kejutan ke atas Vietnam. Ini bersandarkan pengalamannya beraksi untuk LionsXII dalam final Piala FA 2015 menentang Kelantan FC.
Kelantan dilihat pilihan utama kerana dibarisi ramai pemain kebangsaan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal dan Badhri Radzi. The Red Warriors turut mendapat sokongan padu 74,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Hal itu tidak menghalang LionsXII yang dibimbing Fandi Ahmad merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Kelantan. Menariknya, salah seorang penjaring pasukan itu ialah Faris.
Apabila mengenang semula detik berkenaan, Faris mengakui LionsXII pasukan bukan pilihan. Itu tidak menghalang pasukan itu bermain penuh semangat dan melaksanakan strategi yang diterapkan Fandi.
“Kita pasukan bukan pilihan, Kelantan satu pasukan yang kuat, pasukan pilihan dan mendapat sokongan di tempat sendiri,” katanya kepada The Straits Times.
“Tetapi kita tidak rugi apa-apa, kami percaya perancangan permainan (yang diterapkan Fandi Ahmad), kami percaya (apa saja boleh berlaku).”
Atas sebab itu, Faris percaya kejutan sama boleh diulangi ke atas Vietnam. Syaratnya ialah mereka bukan saja perlu mengikut arahan jurulatih tetapi lebih klinikal bila mendapat peluang.
“Kita tahu kualiti Vietnam tetapi kita percaya dengan kualiti kita juga. Kita percayakan arahan jurulatih, perancangan yang mereka ada,” tambahnya.
“Kita kena jadi lebih baik sebagai satu pasukan, kita perlu mencipta peluang yang lebih baik dan apabila kita mendapatnya, kita kena klinikal. Saya harap pemain-pemain dapat berikan segalanya.”
Kali terakhir Singapura mengatasi Vietnam ialah final ASEAN Championship 1998. R. Sasikumar muncul wira dengan meledakkan gol tunggal buat The Lions pada 5 September 1998.
Singapura kini berpeluang mencipta sejarah baru apabila berentap dengan Vietnam buat kali kedua pada 29 Disember ini.