Aksi separuh akhir ASEAN Championship hari ini membabitkan pertembungan antara pasukan Singapura dan Vietnam.
Singapura mara ke pusingan kalah mati selepas menjadi naib juara Kumpulan A sementara Vietnam diangkat sebagai juara Kumpulan B dalam saingan peringkat kumpulan.
Pada babak pertama permainan, Singapura dan Vietnam masing-masing tidak mencatat sebarang jaringan. Biarpun pasukan tuan rumah mengawal keseluruhan permainan, barisan serangan yang diketuai Shawal Anuar masih gagal memecah kebuntuan perlawanan.
Di separuh masa kedua, aksi bermula dengan beberapa siri serangan dilancarkan pasukan Vietnam. Singapura bagaimanapun tidak mudah memberi peluang buat Vietnam meledak.
Pasukan tuan rumah jelas menguasai perlawanan apabila 10 percubaan berjaya dihasilkan namun kesemuanya tidak menggegar jaring.
Pada minit ke-86 permainan, Vietnam akhirnya mendapat jaringan pertama perlawanan namun jaringan itu dibatalkan kerana pengadil mengesan bola terkena tangan.
Sebelum aksi tamat, Vietnam dihadiahkan sepakan penalti. Sepakan itu mudah disempurnakan Nguyen Tien Linh untuk gol pertama Vietnam dalam 10 minit masa tambahan.
Penyerang Vietnam, Rafaelson melebarkan kedudukan untuk gol kedua menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.
Jaringan itu kekal hingga tamat permainan, Singapura tewas kepada Vietnam dengan keputusan 0-2.
Aksi separuh akhir kedua antara kedua pasukan ini bakal berlangsung di Stadium Hanoi. Singapura dan Vietnam bakal berentap sekali lagi dalam misi merebut slot ke final pada Ahad kelak, 29 Disember 2024.