Pengendali kelahiran England menghamburkan pujian menggunung terhadap mutu Liga Malaysia.
Beliau menganggap taraf tinggi yang dimiliki dalam saingan kompetitif di Malaysia telah membantu perkembangan baik para pemain.
Jurulatih Chinese Taipei ini mengakui perkara tersebut selepas anak buahnya tunduk 3-1 di tangan Malaysia pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026 di Bukit Jalil.
“Namun begitu, para pemain kami perlu beraksi pada liga yang lebih baik seperti di Liga Malaysia. Kamu boleh lihat sekitar minit ke-70 hingga 75, pasukan kami sudah tidak boleh beraksi. Ini disebabkan intensiti dalam liga.
“Dalam liga kami, mungkin pemain berlari sekitar 7.5 km setiap perlawanan tetapi dalam aksi ini kita perlu membuat mereka berlari lebih 4 km.
“Kita tidak boleh memastikannya dalam 10 hari latihan pusat. Kita mahu memastikan kualiti pemain juga meningkat,” jelasnya selepas tamat perlawanan
Gary White juga mahu mengikut model Malaysia untuk mencari lebih ramai pemain warisan bagi mewakili Chinese Taipei.
“Ia sebahagian daripada perancangan untuk mengambil pemain warisan. Ramai pemain beraksi di US dan Jepun. Kita dalam fasa untuk mengikut jejak langkah Malaysia kerana kita perlukan pemain berkualiti.
“Kita dah mencari pemain serata dunia dan beberapa pemain akan datang pada bulan September,” katanya.
Malaysia dan Chinese Taipei masing-masing bakal beraksi di Kelayakan Piala Asia 2027 bermula tahun hadapan.