Pengganti bagi posisi pertahanan kiri yang dikemudi oleh La’vere Corbin-ong telah ditemui di Eropah Selatan.
Pemain berusia 34 tahun itu memasuki fasa akhir kariernya bagi musim 2024/25 tatkala beliau kurang mendapat minit permainan pada peringkat kelab.
Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio lebih cenderung untuk mempertaruhkan tonggak import, Murilo Henrique bagi membentuk kombinasi bahagian kiri skuad Harimau Selatan.
Pemain kelahiran Canada ini turut tidak dipanggil bersama skuad kebangsaan bagi dua kem terakhir ketika aksi bulan November dan juga ASEAN Championship.
Kemas kini oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan berkenaan usaha untuk mendekati beberapa pemain warisan yang berkelana di Eropah.
Pemain pada posisi pertahanan kiri yang beraksi pada peringkat tertinggi Eropah juga sudah berada dalam radar skuad kebangsaan.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga pemain sayap kiri.
Baginda juga memberi bayangan bahawa pemain yang dikenal pasti itu berasal dari Eropah Selatan dan tiada dari England.
“Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,” tambah penjelasan DYAM Tunku Ismail.
Usaha yang dilakukan bersama CEO Harimau Malaya, Rob Friend, Tim Cahill dan juga Dr. Craig Duncan merupakan usaha terbaru bagi membentuk skuad terbaik buat Malaysia.
Usaha ini bagi memastikan Harimau Malaya layak ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.