Manchester City terus berusaha menambah baik pasukan dalam tetingkap perpindahan Januari 2025.
Terbaru, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memaklumkan kelab itu semakin hampir mendapatkan penyerang Mesir, Omar Marmoush dari Eintracht Frankfurt.
City melihat penyerang berusia 25 tahun itu sebagai penyerang sokongan terbaik buat Erling Haaland selepas peranan tersebut digalas Julian Alvarez.
Alvarez kemudiannya meninggalkan Stadium Etihad untuk menyertai kelab La Liga, Atletico Madrid. Selepas City dibelenggu prestasi buruk pada musim 2024/25, Pep Guardiola mengakui tindakan menjual penyerang Argentina itu sebagai satu kesilapan.
Sebelum ini, usaha The Citizens untuk mendapatkan Marmoush pada harga £40 juta (RM219 juta) daripada Frankfurt gagal.
Ini kerana kelab Bundesliga itu mahu City membayar yuran perpindahan penyerang Mesir itu pada kadar premium. Selain yuran perpindahan yang lumayan, Frankfurt juga mahu mencari pengganti Marmoush.
Kini, Romano memaklumkan kedua-dua kelab sudah mencapai persefahaman positif. Ini akan diteruskan dengan bidaan secara rasmi di mana City berharap ia dapat dimuktamadkan pada minggu hadapan.
Sekiranya berjalan lancar, Marmoush akan menjadi pemain kedua yang tiba di Stadium Etihad. Sebelumnya, City bersetuju memuktamadkan perjanjian untuk membeli bek tengah muda Uzbekistan, Abdukodir Khusanov.