Advertisement
Pengganti Syihan Hazmi Belum Diputuskan
Harimau Malaya
MakanBola
FA MALAYSIA

Pengganti kepada penjaga gol nombor satu negara, Ahmad Syihan Hazmi masih belum diputuskan.

Pemain berusia 29 tahun itu merupakan sandaran utama bagi mengawal posisi penjaga gol negara sejak dua tahun kebelakangan ini.

Nama beliau bagaimanapun tidak tersenarai dalam kelompok 26 orang pemain yang dipanggil oleh pengendali, Pau Marti Vicente bagi membantu negara pada aksi Piala Mitshubishi Electric ASEAN 2024.

Penjaga gawang JDT itu beraksi cemerlang dalam 13 penampilan di Liga Super dengan memiliki purata sekitar 75 peratus penyelamatan bola dan hanya 0.5 peratus purata bolos.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu bagaimanapun memberikan peluang kepada tiga penjaga gol lain iaitu Kalamullah Al-Hafiz (Selangor), Haziq Aiman (JDT) dan juga Haziq Nadzli (Perak) untuk berada dalam senarai 26 pemain kali ini.

Teka-teki mengenai penjaga gol utama yang bakal turun menentang Kemboja pada 8 Disember ini masih menjadi tanda tanya selepas hampir kesemua perlawanan dikemudi oleh Syihan Hazmi.

Sebelum ini, Kim Pan-gon pernah memberikan peluang kepada Azri Ghani beraksi dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chinese Taipei dan Kyrgyzstan namun beliau tidak dipanggil membawa cabaran kali ini.

Malaysia bakal mengharungi beberapa cabaran besar seperti menentang Thailand dan Singapura pada peringkat kumpulan dalam misi untuk memperbaiki rekod pada edisi 2022.