Pengurus Portugal Hilang Sabar Dengan Ronaldo
Dunia
EuroFoot
Advertisements

Perangai Cristiano Ronaldo yang besar kepala dan suka merajuk bukan sekali mencetuskan kemarahan ramai pengurus dari Zinedine Zidane dan Maurizio Sarri hinggalah yang terbaru, Erik ten Hag. Dan nampaknya, pengurus Portugal Fernando Santos juga sudah hilang sabar dengan legenda Manchester United itu.

Insiden yang membuatkan bekas pengurus Greece itu marah ialah apabila Ronaldo memakinya selepas dikeluarkan dalam perlawanan Kumpulan D Piala Dunia 2022 membabitkan Portugal dan Korea Selatan. Insiden tersebut dikesan oleh media Portugal dan menjadi hangat di laman media sosial. Walaupun ia cuba dinafikan susulan kekalahan mengejut A Selecao kepada Pahlawan Taeguk, Santos mendedahkan apa yang berlaku dalam sidang media pra-perlawanan kalah mati Portugal-Switzerland.

Dalam sidang media tersebut, bekas jurulatih Benfica itu berkata, “Biar saya pecahkan jawapan ini kepada dua bahagian. Selepas perlawanan, saya bercakap dengan temubual pantas dan seterusnya ke sidang media pasca-perlawanan, dan di situ saya ulangi apa yang saya akan katakan di sini: di padang, saya tak dengar apa berlaku.

Advertisements

“Saya berada terlalu jauh dan apa yang saya tahu ialah beliau (Ronaldo) bertekak dengan seorang pemain Korea Selatan, itu saja. Adakah saya menonton rakaman tersebut? Ya. Saya tak suka langsung. Saya amat tak menyukainya. Dari situ, hal ini biasanya diselesaikan secara dalaman. Dan ia akan diuruskan dengan cara begitu dan kami boleh memikirkan perlawanan esok (menentang Switzerland). Semua orang fokus pada perlawanan berkenaan.”

Kebiasaannya, hukuman bagi tingkah laku sebegini ialah digugurkan daripada kesebelasan utama. Tetapi bila ditanya sama ada itu akan berlaku kepada Ronaldo, Santos memberi jawapan ini, “Saya akan beritahu pasukan siapa yang akan turun bermain dalam bilik persalinan. Saya akan bentuk kesebelasan utama yang saya percaya boleh bermain. Ini sesuatu yang saya telah lakukan sepanjang hayat saya.

“Saya OK dengan diri sendiri, tiada masalah. Saya akan berpegang dengan suara hati saya. Mungkin selepas perlawanan, saya akan cuba memikirkannya semula dan mengambil keputusan berbeza. Tetapi itu yang saya lakukan sejak tiba di sini pada 2014. Saya hanya fikir apa yang terbaik untuk Portugal dan pasukan kebangsaan. Dan topik (insiden Ronaldo) ini dianggap tamat, ia akan diselesaikan secara dalaman. Ia boleh diselesaikan.”

Advertisements

Sekiranya Ronaldo tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Switzerland esok, bekas penyerang Real Madrid itu tidak akan berpeluang menyamai rekod Eusebio sebagai penjaring gol terbanyak Piala Dunia Portugal dengan sembilan gol, lebih-lebih lagi sekiranya Portugal tersingkir. Dan ia pastinya amaran kepada mana-mana kelab yang masih berhajatkan Ronaldo agar bersedia menangani perangai besar kepalanya itu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram