Penjaga gol berbakat Malaysia dilaporkan bakal berhijrah ke Kuching City.
Perkhabaran awal ini telah menghangatkan jendela perpindahan kedua masih lagi dibuka hingga akhir September 2024.
Menerusi beberapa laporan yang diterima oleh MakanBola, seorang penjaga gol berbakat besar Malaysia bakal meninggalkan pasukannya ketika ini untuk ke Kuching City.
Persaingan sengit untuk mengekalkan posisinya pada peringkat kelab memungkinkan watak penting negara ini bakal membawa haluan baharu.
Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak kini sudah pun menerima sentuhan beberapa pemain berpengalaman untuk menambah baik kekuatan pasukan.
Kuching City mengharungi permulaan Liga Super yang cukup cemerlang apabila merekodkan tiga kemenangan, 5 keputusan seri dan hanya satu kekalahan selepas 9 perlawanan.
Pasukan berpangkalan di Sarawak itu juga kini menghuni tangga ke-4 saingan Liga Super Malaysia dan mempertaruhkan penjaga gol berpengalaman, Sharil Saari dalam hampir semua perlawanan.
Kehadiran penjaga gol baharu bakal memberikan saingan sengit untuk menambah kekuatan pasukan berbaki hampir separuh perlawanan yang belum dimainkan.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak kelab atau pemain yang dimaksudkan berkenaan perpindahan ini.