Ketangkasan penjaga gol Malaysia telah memberikan kelebihan buat pasukan negara terutamanya untuk melangkah ke Kelayakan Piala Asia B-23 tidak lama lagi.
Sungguhpun skuad muda negara melalui detik yang agak mencabar apabila tidak mencapai sasaran yang diharapkan dalam dua kejohanan sebelum ini, terdapat beberapa perkembangan positif yang boleh dilihat.
Hal ini juga termasuklah aksi yang ditampilkan oleh penjaga gol Malaysia di pentas Piala AFF U23 sungguhpun menamatkan saingan di tempat ke-4.
Perlawanan berdepan Thailand membuktikan kaliber yang ditampilkan oleh penjaga gol muda KL City, Azim Al-Amin.
Pemain berusia 22 tahun itu diberi peranan utama untuk mengawal gawang gol negara bertindak cemerlang untuk memastikan gawang gol Malaysia tidak dibolosi.
Menurut penilaian yang diberikan oleh Aiscore, Azim merupakan pemain terbaik perlawanan apabila dinilai sebanyak 8.4 daripada jumlah keseluruhan iaitu 10.
Penilaian ini mengetepikan impak beberapa bintang utama Thailand yang menerima penilaian kurang daripada 7.
Prestasi ini tidaklah mengejutkan selepas beliau sering diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama The City Boys di bawah kendalian bekas jurulatih, Bojan Hodak.
Beliau sekali lagi tersenarai dalam 25 pemain ke kem latihan pusat b-23 sebelum berlepas ke Thailand pada 4 September.
Bagi saingan Kumpulan H pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 itu, Malaysia akan berdepan Bangladesh pada Rabu, 6 September 2023, Filipina pada Sabtu, 9 September 2023 dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023.
Ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.