Penjaga gol Vietnam, Filip Nguyen merasa sangat gembira kerana dapat membantu pasukan itu menewaskan Indonesia.
Sebelum ini, Tim Garuda berjaya mengalahkan Pahlawan Bintang Emas dalam tiga perlawanan tahun 2024 iaitu saingan Piala Asia 2023 dan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia.
Ini termasuk kekalahan 3-0 pada 26 Mac lalu di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. Kekalahan tersebut turut menyebabkan jurulatih Vietnam pada ketika itu, Philippe Troussier dipecat.
Justeru, apabila kedua-dua pasukan bertemu pada 15 Disember lalu, ramai penyokong berharap Vietnam dapat menghapuskan rekod kekalahan mereka dengan Tim Garuda.
Hasrat mereka tercapai apabila Nguyen Quang Hai meledakkan gol kemenangan pada separuh masa kedua perlawanan.
Atas sebab itu, Nguyen mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana setia bersama Vietnam untuk mengakhiri rekod buruk mereka itu.
“Terima kasih banyak-banyak kepada semua penyokong. Ini kemenangan pertama saya (ke atas Indonesia).
“Saya gembira kerana dapat berkongsi kemenangan ini dengan anda. Jadi, terima kasih dan teruskan menyokong kami,” katanya selepas perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Vietnam kini mengungguli Kumpulan B dengan enam mata meskipun beraksi sebanyak dua kali. Indonesia pula jatuh di tangga kedua dengan empat mata.
Selepas ini, Pahlawan Bintang Emas bakal berentap dengan Filipina untuk aksi Kumpulan B seterusnya pada 18 Disember ini.