Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim telah diserang oleh individu tak dikenali dalam satu insiden di Johor Bahru pada semalam.
Safiq menyatakan bahawa terdapat dua orang lelaki yang bermotosikal meluru kearahnya dan terus bertindak menyerang kereta yang sedang dipandu.
Dalam laporan polis yang telah dibuat, pemain berusia 36 tahun itu melaporkan bahawa penjenayah tersebut sempat menunjukkan senjata yang digunakan iaitu tukul besi kearahnya sebaik sahaja beliau memberhentikan kereta.
“Pada 07/05/2024 jam lebih kurang 2205 PM semasa saya selesai mengambil barang di pusat latihan JDT Seri Gelam dan memandu kereta jenis Honda City menghala ke Pantai Lido secara tiba-tiba datang sebuah motosikal, jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti dinaiki oleh dua orang lelaki bangsa tidak pasti datang kearah kereta saya dan salah seorang pembonceng motosikal tersebut mengeluarkan sebatang tukul besi lalu mengetuk cermin bahagian belakang kereta saya.”
“Ketukkan tersebut menyebabkan saya terkejut dan saya memberhentikan kereta saya. Kemudian dua orang tersebut berhenti dihadapan sambil menunjukan tukul ke arah saya, akibat takut saya megundurkan kereta saya dan dua lelaki tersebut terus beredar dari lokasi.”
“Ketukkan tersebut menyebabkan cermin bahagian belakang kereta saya telah pecah. Maka saya datang ke balai polis buat laporan bimbang akan keselamatan diri saya dikemudian hari, sekian laporan saya,” seperti yang dipetik daripada laporan polis yang dimuat naik Safiq Rahim.
Kejadian yang berlaku di Jalan Seri Gelam telah mengakibatkan cermin belakang kereta pemain Harimau Selatan itu pecah selepas dihentak dengan menggunakan tukul besi.
Johor Darul Ta’zim dalam satu kenyataan terkini memaklumkan bahawa mereka telah meningkatkan lagi keselamatan semua pemain sebagai langkah berjaga-jaga.