Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengulas mengenai isu keganasan yang muncul melibatkan beberapa pemain seperti Akhyar Rashid, Faisal Halim dan terbaharu, Safiq Rahim.
Minggu suram buat arena bola sepak Malaysia apabila satu demi satu kes keganasan yang mengancam nyawa dan keselamatan para pemain bola sepak negara berlaku dan yang terkini, pemain tengah JDT, Safiq Rahim pula menjadi mangsa.
Safiq Rahim memuatnaik satu hantaran di Instagram milik beliau dengan sekeping gambar yang menyaksikan cermin belakang kenderaan Honda City miliknya telah diketuk menggunakan tukul oleh individu misteri yang menaiki motosikal.
“Tak sangka saya pula diserang berdekatan pusat latihan JDT. Zaman kami kena berjaga-jaga,” tulis Safiq di Instagram pada lewat malam Selasa.
Hal ini memaksa JDT untuk mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan pasukan berkaitan keselamatan para pemain skuad Harimau Selatan dan juga pemain pasukan lain.
JDT melalui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alistair Edwards menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil langkah proaktif bagi menangani isu ini dengan segera.
“Kami menggesa Polis DiRaja Malaysia menyiasat perkara ini dengan segera,” ujar Alistair Edwards dalam kenyataan tersebut.
JDT turut sebulat suara menyokong bahawa isu keganasan yang berlaku ini tiada tempat dalam sukan bola sepak dan mempersiap langkah berjaga-jaga dengan mengetatkan kawalan keselamatan kepada para pemain.
“Insiden itu, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak. Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.”
Terdahulu, pemain pinjaman JDT, Akhyar Rashid telah menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu minggu lalu sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badannya akibat dipukul menggunakan cota.
Manakala, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim yang kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) telah disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di pusat membeli belah terkemuka Ahad lepas.